Saturday, December 15, 2012

Motivasi Pagi #000005 :)

16 Disember 2012/3 Safar 1434H:

MENJADI REMAJA UNIK.....



Remaja dan masalah sosial. Ya. Hari ini, dua perkara tersebut kelihatan sinonim. Kalau ditoleh kiri dan kanan, remaja adalah yang memberikan gambaran akan kehidupan masyarakat. Dan kita melihat hari ini bagaimana remaja menjadi ‘penyeri’ kepada pelbagai perkara buruk seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, salah laku, jenayah, parti liar, dan 1001 masalah yang lain. Persoalannya, mengapa mesti remaja terdorong ke arah itu?

“Sebab mereka remaja. Darah muda. Panas. Tidak berfikir panjang.” Tetapi saya tidak menerima itu sebagai jawapan. Sebab sebenarnya setiap manusia itu diberikan pilihan untuk menjadi baik atau menjadi buruk. Remaja juga diberikan ALLAH s.w.t. pilihan tersebut, sama seperti orang lain.

Maka, artikel ini adalah untuk mengajak remaja melihat semula. Apakah kita mahu menjadi remaja yang unik, lantas dihormati lagi disegani?


  •  Remaja yang unik itu, dia tunduk kepada Allah SWT


Tiadalah apa yang ALLAH s.w.t. perintahkan itu melainkan memberikan kebaikan kepada manusia. Apabila ALLAH s.w.t. perintahkan kita untuk laksanakan sesuatu, pastinya melaksanakan perkara itu akan memberikan kebaikan kepada kita, walaupun kita tidak mengetahui apa kebaikannya. Apabila ALLAH perintahkan kita untuk meninggalkan sesuatu, pastinya meninggalkan perkara itu akan memberikan kebaikan kepada kita, walaupun kita tidak mengetahui apa kebaikannya.

Justeru, hendak mencapai kebaikan, kehebatan, keagungan, maka resepi pertamanya adalah dengan tunduk kepada ALLAH s.w.t.. Remaja yang unik ialah remaja yang tunduk kepada ALLAH s.w.t.. Dia menjalankan perintah ALLAH s.w.t.. Melaksanakan apa yang ALLAH s.w.t. suruh laksanakan, dan meninggalkan apa yang ALLAH s.w.t. suruh tinggalkan. Automatiknya, remaja yang tunduk kepada ALLAH s.w.t. akan meninggalkan rokok, arak, pergaulan bebas, malas, culas, jenayah dan 1001 keburukan lain yang menjadi sinonim dengan remaja hari ini. Itu sahaja sudah satu perubahan yang besar bukan?


  •  Remaja yang unik itu, punya peribadi yang cantik


Ketundukan kepada ALLAH s.w.t. tadi menghasilkan peninggalan kepada keburukan. Rentetan daripada itu, remaja yang melakukan sedemikian akan didekati ‘akhlak yang baik’ secara perlahan-lahan. Bila keburukan tiada, yang mengisi hanyalah kebaikan. Pakaian akan mula menjadi kemas apabila memahami bahawa ALLAH s.w.t. amat sukakan kecantikan, masa tidak akan lagi dibazirkan apabila memahami bahawa masa adalah kehidupan yang tidak akan kembali, duit tidak akan lagi diboroskan apabila memahami bahawa membazir itu dibenci oleh ALLAH s.w.t., dan sebagainya, sekaligus membentuk satu peribadi jitu.

Dan remaja ini, tidak akan mencapai perkara-perkara rendah di dalam kehidupannya. Dia akan sentiasa bercita-citakan sesuatu yang tinggi. Dia akan mempunyai wawasan. Kerana manusia yang taat kepada ALLAH s.w.t., matlamatnya adalah syurga. Tetapi tidaklah syurga itu akan dicapai oleh manusia yang tidak bercita-cita, yang hidupnya tunggang-langgang tidak terurus, yang peribadinya tidak bersih, dan sebagainya.



  •  Remaja yang unik, hari ini kita kehilangan


Remaja unik ini, pada zaman ini telah tiada. Atau lebih tepat lagi, berkurangan.

Kita kehilangan susuk-susuk hebat seperti Ali bin Abi Talib r.a. yang mampu menggantikan Rasulullah s.a.w. pada katil baginda, saat usianya masih kecil. Kita kehilangan Usamah bin Zaid r.a. yang mengetuai bala tentera pda umur 18 tahun. Kita kehilangan Sultan Muhammad al-Fateh yang menawan Konstantinopel pada usia 21 tahun. Kita kehilangan remaja yang berani seperti Muadz dan Muawwidz yang menumbangkan Abu Jahal sedang usia mereka ketika itu hanya belasan tahun. Kita kehilangan remaja yang serius menimba ilmu seperti Abdullah ibn Umar r.a., yang pada umur muda sudah duduk di majlis orang-orang tua menimba ilmu ALLAH s.w.t..

Tiada remaja mahu serius. Tiada remaja mahu berdisiplin. Rata-rata mahu berseronok. Ketahuilah bahawa tiada ubat untuk kehilangan ini, melainkan kembali kepada ALLAH s.w.t., dan tunduk kepada-NYA. Itulah ubat yang sebenar hakikatnya. Tetapi ubat itulah yang kebanyakan kita tinggalkan hari ini. Jadilah remaja kita seperti apa yang kita lihat hari ini. Sinonim dengan masalah. Sedangkan satu zaman dahulu, remaja adalah sinonim dengan kekuatan, kegemilangan dan kecemerlangan.


  •  Penutup: Jadilah Remaja yang unik.


Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bermula Islam itu dalam keadaan dagang(asing), ia akan kembali dagang sebagaimana bermulanya ia. Maka beruntunglah bagi mereka yang dagang.” [Hadis Riwayat Muslim]. Dengan mengambil Islam, kita automatik akan menjadi asing. Pelik. Ganjil.

Tetapi bukankah untung, terhindar dari keburukan? Ganjil di tengah-tengah kerosakan bermakna kita adalah kebaikan bukan? Maka remaja sekalian, mengapa tidak kita memilih untuk menjadi yang unik ini? Atau kita hendak menjadi pewaris yang menghancurkan masa hadapan dunia ini nanti? Kita pilih.

ALLAH sesekali tidak rugi dan untung dengan pilihan kita.
Kitalah yang rugi dan untung, mengikut pilihan yang kita buat.

diubahsuai dan dipetik daripada: http://langitilahi.com/9586


aezamaiman: "Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, lihatlah pada pemuda dan pemudinya." Marilah menjadi seperti Sultan Muhammad al-Fateh dan tokoh-tokoh remaja terhebat yang lain!!

No comments:

Post a Comment