Saturday, May 4, 2013

WASIAT KAMI ANAK MUDA... PRU-13




(NOTA: PENULIS BUKAN PENYOKONG MANA-MANA PARTI, INI HANYALAH NOTA MEWAKILI ANAK-ANAK MUDA YANG MASIH BELUM LAYAK MENGUNDI DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE-13 PADA 5 MEI 2013.)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.

Tanggal 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1434 H, semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas dan telah layak mengundi akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Proses buang undi ini bakal menentukan siapakah yang bakal menerajui kepimpinan pusat serta kawasan-kawasan kecil di Malaysia.

BARISAN NASIONAL vs PAKATAN RAKYAT
Langkau pada perspektif anak-anak muda seperti saya, kami memang belum cukup umur untuk mengundi. Kami faham kerana umur bawah 21 dianggap masih belum melepasi tahap kematangan yang sewajarnya untuk memilih kerajaan. Sekurang-kurangnya BELUM LAGI BUAT MASA INI.

Namun jangan dilupa wahai ayah-ayah, ibu-ibu, abang-abang, kakak-kakak serta golongan yang telah layak memilih kerajaan, undian anda semua dikira untuk membentuk sebuah kerajaan yang akan menerajui Malaysia. Hal ini juga merangkumi PENDIDIKAN, HAK ANAK MUDA serta PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN yang sudah terang lagi bersuluh melibatkan kami anak-anak muda juga.

Oleh itu, nasib kami anak-anak muda bolehlah dikatakan sebagai berada di bahu-bahu anda semua. Jadi kami semua berharap agar semua pengundi dapat berfikir masak-masak sebelum membuang undi. Fikirkan tentang masa depan negara serta masa depan kami juga. Pilihlah kerajaan yang akan mendorong kemajuan Malaysia selari dengan negara-negara maju di dunia, sekali gus memberi peluang kepada kami untuk juga memajukan diri. Negara mana yang mahu golongan mudanya bermasalah dan berakhlak buruk? Jadi, kerajaan yang baik dan telus amat diperlukan bagi melahirkan generasi masa depan yang gemilang serta meneruskan kemajuan tanah air tercinta. Kami juga merayu agar kerajaan yang bakal kalian lantik nanti tidak mengabaikan hak kami sebagai penerus kedaulatan Malaysia di masa hadapan.

Kami anak muda mahukan sistem pendidikan yang memberi manfaat kepada kami di mana ilmunya dapat kami gunakan untuk kemajuan negara ini juga. Janganlah seandainya sistem pendidikan yang dibentuk menyusahkan kami, seterusnya menyebabkan jiwa kami memberontak dan seterusnya melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Mudahkan kami untuk menimba ilmu dunia dan akhirat, nescaya pemimpin-pemimpin semua serta anda semua wahai pengundi akan mendapat bekalan tambahan untuk dibawa di akhirat nanti, insya-ALLAH. Pilihlah juga kerajaan yang dapat menjamin "pendidikan sepanjang hayat" yang mudah kepada semua pihak, bukan sahaja anak-anak muda.

Kami anak-anak muda berharap agar walau sesiapa pun yang memerintah negara ini pada pasca-PRU 13 nanti, binalah kerajaan yang adil dan saksama bagi semua rakyat Malaysia. Hilangkanlah persengketaan antara kerajaan dan pembangkang nanti. Kami anak-anak muda menjadikan anda semua golongan dewasa sebagai contoh, jika anda semua baik, baik jugalah kami nanti. Jika anda semua sukakan peperangan, persengketaan dan pergaduhan, itulah juga mentaliti kami nanti. Kami mahukan Malaysia tanah air tercinta ini sebagai negara yang aman dan sejahtera sekalipun ada perbezaan pemikiran politik antara kita semua. Biasalah, "banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam" namun tiada sebab mengapa ukhuwah tidak boleh dibina. WALAU SIAPAPUN YANG MENERAJUI NEGARA KITA, DS NAJIB TUN RAZAK ATAU DS ANWAR IBRAHIM, KITA TETAP RAKYAT MALAYSIA DAN KITA PERLULAH SENTIASA BERSATU AGAR MENCAPAI HASRAT KITA UNTUK MENJADIKAN NEGARA KITA SEBAGAI NEGARA MAJU!!

Khususnya, kami anak-anak muda yang beragama Islam berhasrat agar sistem Islam menjadi asas utama Perlembagaan Negara. Kita tidak mahu agama Islam hanya "rasmi" pada nama sahaja, tetapi diaplikasikan juga dalam setiap aspek pentadbiran dan kehidupan. Bukan sukar, Perlembagaan Madinah ada sebagai rujukan. Kami berharap agar kerajaan yang bakal dibentuk setelah PRU-13 berakhir dapat menggunakan al-Quran dan Hadis Sahih sebagai rujukan untuk mentadbir dan memerintah negara. Sudah dibuktikan bahawa perlembagaan berteraskan Islam dapat menjamin pemerintah dan rakyat yang hidup dengan harmoni serta kemajuan negara yang berkekalan. Percayalah dengan hukum-hukum ALLAH, insya-ALLAH kita akan capai cita-cita semua rakyat Malaysia.

Mungkin akan ada pihak yang megatakan bahawa harapan-harapan ini telah pun dilaksanakan, baguslah jika begitu. Kini, kami mahu semua itu diperkasakan tanpa bangkangan dan kongkongan. Wahai pemimpin-pemimpin kami, tadbirlah negara dengan penuh amanah, kerana pemerintahan anda semua akan ditanya oleh ALLAH di akhirat kelak. Wahai ayah-ayah, ibu-ibu, abang-abang dan kakak-kakak yang layak mengundi, pangkahlah pemimpin yang telus dan boleh mengetuai rakyat ke arah kejayaan dunia dan akhirat, kerana undian setiap dari anda semua juga bakal disoal. Jika pemimpin melakukan pengkhianatan seperti rasuah dan sebagainya, kelak kita semua juga yang akan ditimpa musibah. Ini bukan janji saya atau anak-anak muda, ini janji ALLAH. Bagi mereka yang masih berkeras tidak mahu keluar mengundi sungguhpun telah layak, anda juga akan disoal kerana mengundi ini hukumnya sama dengan memberi penyaksian untuk meneruskan pemerintahan Islam.

Jadi pengundi-pengundi semua, dengarlah suara-suara ini. Masa depan kami di tangan anda semua juga. Kami hanya mampu berdoa kepada agar kerajaan yang akan anda semua bentuk bakal memberi manfaat kepada kami juga, bukan sahaja kepada anda semua. Keluarlah mengundi, mengundilah dengan bijak demi masa depan Malaysia negara kita yang tercinta.

(MAAF SEKIRANYA TERKASAR BAHASA, INI HANYALAH NUKILAN DARIPADA INSAN YANG MASIH BELUM LAYAK MENGUNDI, NAMUN NASIBNYA JUGA BERADA DI TANGAN PENGUNDI-PENGUNDI PRU-13. MAAF JUGA JIKA ADA YANG TERASA DAN TERSENTUH, NAMUN INILAH HARAPAN SERTA PERSPEKTIF ANAK-ANAK MUDA. SEKALI LAGI DITEKANKAN, PENULIS NOTA BUKANLAH PENYOKONG MANA-MANA PARTI, HANYALAH PEMERHATI.)