Sunday, May 18, 2014

Nota Si Jahil #000001

KEPENTINGAN TARBIYAH.....

Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (Palestin). Penulis-penulisnya mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku akan menjawab:
"Kita WAJIB memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?" [Syakib Arsalan]

Tarbiyah Islamiyah = proses penyiapan manusia yang soleh, agar wujudnya keseimbangan dalam potensi, tujuan, ucapan, dan tindakannya secara keseluruhan. Tarbiyah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud pendidikan, sedangkan orang yang mendidik dinamakan Murobbi. 



Apa Pentingnya Tarbiyah?
1. Asas pembentukan peribadi muslim.
2. Benteng kukuh untuk menjaga kekuatan dan keutuhan jemaah.
3. Satu-satunya sarana untuk melahirkan kader.
4. Lingkungan untuk mengikat ukhuwah.
5. Institusi yang melahirkan pendakwah.
6. Universiti yang melahirkan pemimpin.
7. Tiang induk ke arah pembinaan Ustaziayatul Alam.

Kader = orang yg diharapkan akan memegang peranan yg penting (dalam konteks ini, orang yang berperanan melaksanakan tugas dakwah yang murni).
Ustaziayatul Alam = http://elbaeraqy.wordpress.com/2013/06/08/makna-di-sebalik-ustaziatul-alam/


Arah Tuju Tarbiyah
Fardu Muslim - sebagai asas membina umat beragenda.

Mafhum Tarbiyah
1. Mafhum
2. Tanmiyah
3. Perkembangan

"Demi ALLAH, bahawa ALLAH memberi petunjuk kepada satu orang dengan hasil usahanya itu lebih baik daripada unta merah (harta kekayaan termahal ketika itu)." [HR Bukhari]



Ciri-ciri Tarbiyah
1. Rabbaniyah dan positif
- berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
- melakukan amalan soleh

2. Meningkat dan beransur-ansur
- secara psikologi mengikut tahap umur, kerana tarbiyah sesuai untuk semua golongan umur
- "one at a time", bukan disumbat terus dalam satu masa

3. Berterusan
- tarbiyah berterusan agar iman bertambah dan sentiasa bertambah setiap hari
- dilakukan sehingga nafas yang terakhir

4. Sederhana dan seimbang
- zuhud dalam tarbiyah
- bukan hanya duduk di masjid/surau, sebaliknya juga cakna tentang umat dan isu semasa serta berjihad
- mempelajari ilmu agama tanpa jemu

5. Menyeluruh dan melengkapi
- manusia tidak akan pernah selamat tanpa tarbiyah yang betul dan strategik
- menjadikan diri sebagai muslim sebenar



Objektif Wasilah
1. Katibah
- menguatkan aspek kerohanian dan hubungan dengan ALLAH (Habluminallah), ukhuwah serta melaksanakan pengalaman mujahadah.

2. Rehlah
- mendalamkan aspek ta'aruf dalam kalangan ahli dan melatih mereka menghadapi sesuatu situasi.

3. Mukhayyam
- membiasakan diri dengan cara hidup lasak

“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas.. dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” [Riwayat Muslim]

4. Usrah
- pembentukan peribadi muslim sebagai batu-bata masyarakat Islam.

Ciri Peribadi Muslim
As-Syahid Imam Hassan al-Banna ada menggariskan SEPULUH ciri peribadi muslim hebat.
1. Akidah yang sejahtera
2. Ibadah yang benar
3. Akhlak yang mantap
4. Menjaga waktu
5. Tersusun dalam urusan
6. Mampu berdikari
7. Berpengetahuan luas
8. Mujahadah melawan nafsu
9. Sihat tubuh badan
10. Berguna kepada orang lain



Hasil Tarbiyah
1. Mempunyai  - pengetahuan
                        - harga diri
                        - kekuatan
                        - kesatuan
2. Menjadi umat terbaik.



sumber: Program STEP ISMA KL (17 Mei 2014)

aezamahmad: Insya-ALLAH nota ini dapat kita hadam dan fahamkan, semoga kita dapat platform untuk mentarbiyah diri kita supaya menjadi seorang muslim yang berguna kepada masyarakat dan agama.

Saturday, May 4, 2013

WASIAT KAMI ANAK MUDA... PRU-13




(NOTA: PENULIS BUKAN PENYOKONG MANA-MANA PARTI, INI HANYALAH NOTA MEWAKILI ANAK-ANAK MUDA YANG MASIH BELUM LAYAK MENGUNDI DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE-13 PADA 5 MEI 2013.)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.

Tanggal 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1434 H, semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas dan telah layak mengundi akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Proses buang undi ini bakal menentukan siapakah yang bakal menerajui kepimpinan pusat serta kawasan-kawasan kecil di Malaysia.

BARISAN NASIONAL vs PAKATAN RAKYAT
Langkau pada perspektif anak-anak muda seperti saya, kami memang belum cukup umur untuk mengundi. Kami faham kerana umur bawah 21 dianggap masih belum melepasi tahap kematangan yang sewajarnya untuk memilih kerajaan. Sekurang-kurangnya BELUM LAGI BUAT MASA INI.

Namun jangan dilupa wahai ayah-ayah, ibu-ibu, abang-abang, kakak-kakak serta golongan yang telah layak memilih kerajaan, undian anda semua dikira untuk membentuk sebuah kerajaan yang akan menerajui Malaysia. Hal ini juga merangkumi PENDIDIKAN, HAK ANAK MUDA serta PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN yang sudah terang lagi bersuluh melibatkan kami anak-anak muda juga.

Oleh itu, nasib kami anak-anak muda bolehlah dikatakan sebagai berada di bahu-bahu anda semua. Jadi kami semua berharap agar semua pengundi dapat berfikir masak-masak sebelum membuang undi. Fikirkan tentang masa depan negara serta masa depan kami juga. Pilihlah kerajaan yang akan mendorong kemajuan Malaysia selari dengan negara-negara maju di dunia, sekali gus memberi peluang kepada kami untuk juga memajukan diri. Negara mana yang mahu golongan mudanya bermasalah dan berakhlak buruk? Jadi, kerajaan yang baik dan telus amat diperlukan bagi melahirkan generasi masa depan yang gemilang serta meneruskan kemajuan tanah air tercinta. Kami juga merayu agar kerajaan yang bakal kalian lantik nanti tidak mengabaikan hak kami sebagai penerus kedaulatan Malaysia di masa hadapan.

Kami anak muda mahukan sistem pendidikan yang memberi manfaat kepada kami di mana ilmunya dapat kami gunakan untuk kemajuan negara ini juga. Janganlah seandainya sistem pendidikan yang dibentuk menyusahkan kami, seterusnya menyebabkan jiwa kami memberontak dan seterusnya melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Mudahkan kami untuk menimba ilmu dunia dan akhirat, nescaya pemimpin-pemimpin semua serta anda semua wahai pengundi akan mendapat bekalan tambahan untuk dibawa di akhirat nanti, insya-ALLAH. Pilihlah juga kerajaan yang dapat menjamin "pendidikan sepanjang hayat" yang mudah kepada semua pihak, bukan sahaja anak-anak muda.

Kami anak-anak muda berharap agar walau sesiapa pun yang memerintah negara ini pada pasca-PRU 13 nanti, binalah kerajaan yang adil dan saksama bagi semua rakyat Malaysia. Hilangkanlah persengketaan antara kerajaan dan pembangkang nanti. Kami anak-anak muda menjadikan anda semua golongan dewasa sebagai contoh, jika anda semua baik, baik jugalah kami nanti. Jika anda semua sukakan peperangan, persengketaan dan pergaduhan, itulah juga mentaliti kami nanti. Kami mahukan Malaysia tanah air tercinta ini sebagai negara yang aman dan sejahtera sekalipun ada perbezaan pemikiran politik antara kita semua. Biasalah, "banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam" namun tiada sebab mengapa ukhuwah tidak boleh dibina. WALAU SIAPAPUN YANG MENERAJUI NEGARA KITA, DS NAJIB TUN RAZAK ATAU DS ANWAR IBRAHIM, KITA TETAP RAKYAT MALAYSIA DAN KITA PERLULAH SENTIASA BERSATU AGAR MENCAPAI HASRAT KITA UNTUK MENJADIKAN NEGARA KITA SEBAGAI NEGARA MAJU!!

Khususnya, kami anak-anak muda yang beragama Islam berhasrat agar sistem Islam menjadi asas utama Perlembagaan Negara. Kita tidak mahu agama Islam hanya "rasmi" pada nama sahaja, tetapi diaplikasikan juga dalam setiap aspek pentadbiran dan kehidupan. Bukan sukar, Perlembagaan Madinah ada sebagai rujukan. Kami berharap agar kerajaan yang bakal dibentuk setelah PRU-13 berakhir dapat menggunakan al-Quran dan Hadis Sahih sebagai rujukan untuk mentadbir dan memerintah negara. Sudah dibuktikan bahawa perlembagaan berteraskan Islam dapat menjamin pemerintah dan rakyat yang hidup dengan harmoni serta kemajuan negara yang berkekalan. Percayalah dengan hukum-hukum ALLAH, insya-ALLAH kita akan capai cita-cita semua rakyat Malaysia.

Mungkin akan ada pihak yang megatakan bahawa harapan-harapan ini telah pun dilaksanakan, baguslah jika begitu. Kini, kami mahu semua itu diperkasakan tanpa bangkangan dan kongkongan. Wahai pemimpin-pemimpin kami, tadbirlah negara dengan penuh amanah, kerana pemerintahan anda semua akan ditanya oleh ALLAH di akhirat kelak. Wahai ayah-ayah, ibu-ibu, abang-abang dan kakak-kakak yang layak mengundi, pangkahlah pemimpin yang telus dan boleh mengetuai rakyat ke arah kejayaan dunia dan akhirat, kerana undian setiap dari anda semua juga bakal disoal. Jika pemimpin melakukan pengkhianatan seperti rasuah dan sebagainya, kelak kita semua juga yang akan ditimpa musibah. Ini bukan janji saya atau anak-anak muda, ini janji ALLAH. Bagi mereka yang masih berkeras tidak mahu keluar mengundi sungguhpun telah layak, anda juga akan disoal kerana mengundi ini hukumnya sama dengan memberi penyaksian untuk meneruskan pemerintahan Islam.

Jadi pengundi-pengundi semua, dengarlah suara-suara ini. Masa depan kami di tangan anda semua juga. Kami hanya mampu berdoa kepada agar kerajaan yang akan anda semua bentuk bakal memberi manfaat kepada kami juga, bukan sahaja kepada anda semua. Keluarlah mengundi, mengundilah dengan bijak demi masa depan Malaysia negara kita yang tercinta.

(MAAF SEKIRANYA TERKASAR BAHASA, INI HANYALAH NUKILAN DARIPADA INSAN YANG MASIH BELUM LAYAK MENGUNDI, NAMUN NASIBNYA JUGA BERADA DI TANGAN PENGUNDI-PENGUNDI PRU-13. MAAF JUGA JIKA ADA YANG TERASA DAN TERSENTUH, NAMUN INILAH HARAPAN SERTA PERSPEKTIF ANAK-ANAK MUDA. SEKALI LAGI DITEKANKAN, PENULIS NOTA BUKANLAH PENYOKONG MANA-MANA PARTI, HANYALAH PEMERHATI.)

Sunday, December 23, 2012

Krismas?

       

Nampaknya warga Kristian seluruh dunia sudah mengalami debaran untuk merayakan perayaan terbesar mereka yakni KRISMAS... orang Islam juga tidak ketinggalan menantikan hari ini (25 Disember setiap tahun). Namun ada juga yang sudah mula memperkatakan perihal hukumnya. Jadi, apa hukumnya?

Majlis Ulama Indonesia (MUI) sudah mengeluarkan fatwa bahawa HARAM bagi rakyat Islam Indonesia untuk merayakan Krismas. why ah? sebab perayaan ini merupakan ibadah mereka. bila dah ibadah mereka, confirm bercanggah dengan akidah kita. Maksudnya, adalah HARAM bagi umat Islam untuk merayakan apa-apa perayaan yang berunsurkan ibadah dan melibatkan akidah. Nak sambut di rumah ibadah mereka apatah lagi, haram melantun-lantunlah.

Habis tu PM pergi, takpe pulak..?

Ini dah lain bila melibatkan pemimpin negara, jiran tetangga atau rakan yang buat rumah terbuka, maka hukumnya dah jatuh HARUS agar tidak menjadi fitnah dan membawa kepada kemudaratan (perpecahan dan sebagainya).....


Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi berpendapat bahawa hukum mengucap tahniah kepada orang bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti hari Krismas dan sebagainya adalah HARAM dan bertentangan dengan asas-asas akidah Islam. Alasannya?

Pertama: Hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya golongan bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: "Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripada golongan mereka." - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).

Kedua: Dalam suatu kaedah, ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu merelai kekufuran, hukumnya kufur. Ikut sekali beraya dengan orang bukan Islam, serta mengucap tahniah dan memberi ucapan perayaan kepada mereka merupakan antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak sekeras-kerasnya sikap itu.

Kesimpulannya, hukum menyambut Krismas bagi orang Islam ialah HARAM, lagi-lagi dengan menyanyikan lagu-lagu keramat mereka TETAPI untuk melawat mereka yang menyambutnya, apa salahnya. Hal ini demi mengelakkan fitnah (nanti cakap Islam tidak menggalakkan perpaduan pula...). Tapi harus diingat, pakaiannya tidak perlulah menyerupai mereka seperti topi dan sebagainya, cukuplah sekadar menutup aurat dan berpakaian sopan. Hayati dialog di bawah ini.....


Christian: Kenapa kau tidak mengucapkan Selamat Hari Krismas padaku?
Muslim: Agama kami menghargai toleransi antara agama, termasuk agamamu tapi dalam masalah ini, agama saya melarangnya.
Christian: Tapi kenapa, bukankah hanya sekadar kata-kata? Teman muslimku yang lain, mengucapkannya kepada aku?
Muslim: Mungkin mereka belum mengetahuinya. David, kau boleh mengucapkan dua kalimah syahadah? Dalam Bahasa Melayu pun takpe...
Christian: Oh tidak, saya tidak boleh mengucapkannya. Itu akan mengganggu kepercayaan saya selama ini.
Muslim: Kenapa? Bukankah hanya kata-kata? Ayuh, ucapkanlah...
Christian: Sekarang.........saya faham...


            


Wallahu A'lam.

aezam_tnf: Perpaduan tidak semestinya perlu sehingga menggadaikan akidah.

Saturday, December 15, 2012

Motivasi Pagi #000005 :)

16 Disember 2012/3 Safar 1434H:

MENJADI REMAJA UNIK.....



Remaja dan masalah sosial. Ya. Hari ini, dua perkara tersebut kelihatan sinonim. Kalau ditoleh kiri dan kanan, remaja adalah yang memberikan gambaran akan kehidupan masyarakat. Dan kita melihat hari ini bagaimana remaja menjadi ‘penyeri’ kepada pelbagai perkara buruk seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, salah laku, jenayah, parti liar, dan 1001 masalah yang lain. Persoalannya, mengapa mesti remaja terdorong ke arah itu?

“Sebab mereka remaja. Darah muda. Panas. Tidak berfikir panjang.” Tetapi saya tidak menerima itu sebagai jawapan. Sebab sebenarnya setiap manusia itu diberikan pilihan untuk menjadi baik atau menjadi buruk. Remaja juga diberikan ALLAH s.w.t. pilihan tersebut, sama seperti orang lain.

Maka, artikel ini adalah untuk mengajak remaja melihat semula. Apakah kita mahu menjadi remaja yang unik, lantas dihormati lagi disegani?


  •  Remaja yang unik itu, dia tunduk kepada Allah SWT


Tiadalah apa yang ALLAH s.w.t. perintahkan itu melainkan memberikan kebaikan kepada manusia. Apabila ALLAH s.w.t. perintahkan kita untuk laksanakan sesuatu, pastinya melaksanakan perkara itu akan memberikan kebaikan kepada kita, walaupun kita tidak mengetahui apa kebaikannya. Apabila ALLAH perintahkan kita untuk meninggalkan sesuatu, pastinya meninggalkan perkara itu akan memberikan kebaikan kepada kita, walaupun kita tidak mengetahui apa kebaikannya.

Justeru, hendak mencapai kebaikan, kehebatan, keagungan, maka resepi pertamanya adalah dengan tunduk kepada ALLAH s.w.t.. Remaja yang unik ialah remaja yang tunduk kepada ALLAH s.w.t.. Dia menjalankan perintah ALLAH s.w.t.. Melaksanakan apa yang ALLAH s.w.t. suruh laksanakan, dan meninggalkan apa yang ALLAH s.w.t. suruh tinggalkan. Automatiknya, remaja yang tunduk kepada ALLAH s.w.t. akan meninggalkan rokok, arak, pergaulan bebas, malas, culas, jenayah dan 1001 keburukan lain yang menjadi sinonim dengan remaja hari ini. Itu sahaja sudah satu perubahan yang besar bukan?


  •  Remaja yang unik itu, punya peribadi yang cantik


Ketundukan kepada ALLAH s.w.t. tadi menghasilkan peninggalan kepada keburukan. Rentetan daripada itu, remaja yang melakukan sedemikian akan didekati ‘akhlak yang baik’ secara perlahan-lahan. Bila keburukan tiada, yang mengisi hanyalah kebaikan. Pakaian akan mula menjadi kemas apabila memahami bahawa ALLAH s.w.t. amat sukakan kecantikan, masa tidak akan lagi dibazirkan apabila memahami bahawa masa adalah kehidupan yang tidak akan kembali, duit tidak akan lagi diboroskan apabila memahami bahawa membazir itu dibenci oleh ALLAH s.w.t., dan sebagainya, sekaligus membentuk satu peribadi jitu.

Dan remaja ini, tidak akan mencapai perkara-perkara rendah di dalam kehidupannya. Dia akan sentiasa bercita-citakan sesuatu yang tinggi. Dia akan mempunyai wawasan. Kerana manusia yang taat kepada ALLAH s.w.t., matlamatnya adalah syurga. Tetapi tidaklah syurga itu akan dicapai oleh manusia yang tidak bercita-cita, yang hidupnya tunggang-langgang tidak terurus, yang peribadinya tidak bersih, dan sebagainya.



  •  Remaja yang unik, hari ini kita kehilangan


Remaja unik ini, pada zaman ini telah tiada. Atau lebih tepat lagi, berkurangan.

Kita kehilangan susuk-susuk hebat seperti Ali bin Abi Talib r.a. yang mampu menggantikan Rasulullah s.a.w. pada katil baginda, saat usianya masih kecil. Kita kehilangan Usamah bin Zaid r.a. yang mengetuai bala tentera pda umur 18 tahun. Kita kehilangan Sultan Muhammad al-Fateh yang menawan Konstantinopel pada usia 21 tahun. Kita kehilangan remaja yang berani seperti Muadz dan Muawwidz yang menumbangkan Abu Jahal sedang usia mereka ketika itu hanya belasan tahun. Kita kehilangan remaja yang serius menimba ilmu seperti Abdullah ibn Umar r.a., yang pada umur muda sudah duduk di majlis orang-orang tua menimba ilmu ALLAH s.w.t..

Tiada remaja mahu serius. Tiada remaja mahu berdisiplin. Rata-rata mahu berseronok. Ketahuilah bahawa tiada ubat untuk kehilangan ini, melainkan kembali kepada ALLAH s.w.t., dan tunduk kepada-NYA. Itulah ubat yang sebenar hakikatnya. Tetapi ubat itulah yang kebanyakan kita tinggalkan hari ini. Jadilah remaja kita seperti apa yang kita lihat hari ini. Sinonim dengan masalah. Sedangkan satu zaman dahulu, remaja adalah sinonim dengan kekuatan, kegemilangan dan kecemerlangan.


  •  Penutup: Jadilah Remaja yang unik.


Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bermula Islam itu dalam keadaan dagang(asing), ia akan kembali dagang sebagaimana bermulanya ia. Maka beruntunglah bagi mereka yang dagang.” [Hadis Riwayat Muslim]. Dengan mengambil Islam, kita automatik akan menjadi asing. Pelik. Ganjil.

Tetapi bukankah untung, terhindar dari keburukan? Ganjil di tengah-tengah kerosakan bermakna kita adalah kebaikan bukan? Maka remaja sekalian, mengapa tidak kita memilih untuk menjadi yang unik ini? Atau kita hendak menjadi pewaris yang menghancurkan masa hadapan dunia ini nanti? Kita pilih.

ALLAH sesekali tidak rugi dan untung dengan pilihan kita.
Kitalah yang rugi dan untung, mengikut pilihan yang kita buat.

diubahsuai dan dipetik daripada: http://langitilahi.com/9586


aezamaiman: "Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, lihatlah pada pemuda dan pemudinya." Marilah menjadi seperti Sultan Muhammad al-Fateh dan tokoh-tokoh remaja terhebat yang lain!!

Tuesday, December 11, 2012

Motivasi Pagi #000004 :)

12 Disember 2012/28 Muharram 1434H:

KISAH TIGA BUDAK HITAM.....



Tiga orang budak hitam sedang berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliau pun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka kehairanan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka membukanya. Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah seekor jin yang amat besar.

Jin tersebut ketawa terbahak-bahak lalu berkata, "siapakah engkau wahai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 20 tahun. Sepanjang tempoh aku terkurung, aku telah bersumpah akan menyempurnakan 3 hajat sesiapa yang membebaskan aku dari botol ini. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu!"

Ketiga-tiga budak hitam itu pada mulanya terkejut tetapi gembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka. Jin pun berkata kepada budak yang pertama, "pintalah!" Budak hitam pertama lantas berkata, "tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan cantik.” Jin itu menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih. Jin pun berkata kepada budak hitam yang kedua,"pintalah!"

Budak hitam kedua pula berkata, "tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama." Jin menunaikan permintaannya. Lalu budak itu menjadi putih dan cantik, lebih daripada budak yang pertama. Jin pun berkata
kepada budak hitam ketiga, "pintalah!" Budak hitam ketiga itu berkata, "tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih baik daripada budak yang pertama dan kedua!"

Akan tetapi, jin tersebut berkata, "tidak, permintaan itu tidak dapat aku perkenankan. Pintalah yang lain…” Budak hitam ketiga berasa hairan dan terfikir-fikir tentang perkara yang mahu dipintanya.

Setelah lama berfikir, budak hitam ketiga pun bersuara, "jikalau begitu, aku pinta kau hitamkanlah kembali rakan aku yang berdua itu!!” Lalu jin pun tunaikan permintaannya. Kembalilah asal hitam kedua-duanya. Jin berlalu dari situ dan ketiga-tiga mereka tercengang-cengang kerana tidak memperolehi apa pun.

Moral:
Sikap dengki, cemburu dan irihati seringkali bersarang di hati manusia. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka dan mengharapkan mereka lebih dari orang lain. Mereka juga suka melihat nikmat orang lain hilang. Sikap ini sebenarnya pada akhirnya merugikan manusia sendiri. Jadi, hindarilah sifat-sifat mazmumah ini.....


                    

                    

diubahsuai dari: http://www.klinikmotivasi.com/blog/cerita-motivasi-kisah-tiga-budak-hitam/

aezam_tnf: jauhilah hasad, kerana itu merupakan punca perpecahan umat, menjadikan Islam tidak kuat, mudah dirembat.