Sunday, December 2, 2012

Pengajaran dari PLKN KKB

Assalamualaikum... Maaf, dah lama sangat saya tak update blog ni (almaklumlah, SPM 2012 kan...)
Seperti yang sedia maklum, MRSM KKB pernah terbakar asramanya, jadi kami lelaki terpaksa berpindah ke Kem PLKN Kuala Kubu Bharu.
Agak tidak berminat untuk bercerita mengenainya, tetapi ada sesuatu yang saya terjumpa di dalam surau tersebut yang boleh dijadikan pedoman buat semua...


SURAT HAWA UNTUK ADAM...



Ohh Adam...
Adam..... Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok, jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.


Adam... Maha Suci ALLAH yang mentadkirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu di akhir zaman. Itulah sebenarnya ketelitian ALLAH dalam urusan-NYA. Andai bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan dan berperang kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak akan selaraslah undang-undang ALLAH yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tetapi tidak melebihi empat pada satu waktu.

Adam... Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tetapi.. aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu, namun.. terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.

Adam... Aku tahu bahawa dalam al-Quran ada ayat yang menyatakan bahawa kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa berada dalam reda Tuhanku dan Tuhanmu.

Tetapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Asalnya, ALLAH menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukanlah tempatku. Jika terpaksa sekalipun keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki hingga hujung rambut.

Namun... Realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam... Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang pada masa yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk sahaja. Ada di antara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang tidak seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam... Marahkah dikau jika kukatakan seandainya Hawa terpesong, maka ADAM YANG PATUT TANGGUNG? Kenapa? Mengapa begitu wahai ADAM!? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tidak mendengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, tetapi pada hematku yang daif ini Adam, sebaiknya kau tanya pula pada dirimu, apakah didikanmu terhadapku selama ini sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh teladan terhadap kaum Hawa?


Adam... Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana engkaulah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, nescaya lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku berkelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku... akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam... pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering jua aku tergelincir ditolak serong oleh nafsu dan konco-konconya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah ALLAH, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah semangat jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih ALLAH.

Adam.. Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini bakal hancur tatkala kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu.......


jadi, itulah luahan hati kaum wanita buat kaum lelaki di dunia ini. semoga mendapat manfaat yang banyak (lebih-lebih lagi buat kaum Adam termasuk diri saya) untuk menjadi pemimpin yang terbaik bagi kaum wanita dan juga sebagai khalifah terbaik di muka bumi ini.
Wallahu a'lam.


aezamahmad: juga sedang berusaha untuk berubah...

No comments:

Post a Comment