Sunday, December 9, 2012

Motivasi Pagi #000002 :)

10 Disember 2012/26 Muharram 1434H:

Sedekah Sepertiga Harta.....


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, “Pada suatu ketika, ada seseorang yang sedang berjalan di padang pasir yang tiba-tiba mendengar suara dari dalam awan, ‘Siramilah kebun si Fulan.’ Kemudian awan itu menuju ke arah suatu tempat yang banyak batunya, lantas menuangkan airnya.

Di kawasan tersebut, ada sebuah parit yang penuh dengan air sehingga parit itu juga mengalirkan air. Kemudian, di situ ada seorang lelaki yang berada di tengah-tengah kebunnya sedang membahagikan air menggunakan alat pengukur tanah. Dia bertanya kepada orang itu, ‘Wahai hamba ALLAH, siapakah namamu?’ Orang itu menjawab, ‘Fulan,’ nama yang sama dengan yang dia dengar dari dalam awan tadi.

Kemudian Fulan bertanya kepadanya, ‘Kenapa kamu bertanyakan namaku?’ Dia menjawab, ‘Sesungguhnya tadi saya terdengar suara dari dalam awan, yang kemudian menuangkan air ini. Suara itu berkata, ‘Siramilah kebun si Fulan,’ iaitu namamu. Apa yang telah kamu buat?’

Fulan menjawab, ‘Disebabkan kamu bertanya demikian, maka akan aku jawab. Sebenarnya, aku selalu melihat hasil yang dikeluarkan oleh kebun ini, sepertiga dari hasil itu aku sedekahkan, sepertiga aku makan dengan keluargaku, dan sepertiga lagi aku siapkan untuk dijual.’”

Pengajaran:

--> Keutamaan bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan.
--> Berbuat ihsan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.
--> Keutamaan memberi nafkah kepada isteri dan keluarga.
--> Keutamaan bercucuk tanam kerana merupakan mata pencarian yang baik dan halal.
--> Allah mencintai seorang hamba yang kehidupannya seimbang, iaitu yang mahu
     menginfakkan sebahagian hartanya kepada yang memerlukan.

Diubahsuai daripada:

- 61 Kisah Pengantar Tidur, Muhammad bin Hamid Abdul Wahab, Darul Haq, Cetakan VI, 2009.
- www.KisahMuslim.com

aezamahmad: ayuh infakkan harta kita, wahai sahabat!

No comments:

Post a Comment